Wednesday, October 20, 2010

Aku BuKaN TeRBaiK

APA khabar semua? Anda yang membaca, anda yang sedang berehat, yang tengah dok berangan, yang sedang berbahagia, yang sedang murung-murung pun sama, saya ucapkan selamat ceria, salam ketenangan dam semoga sihat-sihat selalu.

Untuk apa kita bersedih, kak? Kenapa kita nak masam-masam, sebab kita dah diberi dengan dua pilihan. Nak happy atau nak moody? Pilihlah, dik. Kalau anda nak jadi orang yang stress, anda boleh. Stresslah sana. Kalau anda nak rasa luar biasa semangat aje sentiasa, anda pun boleh. Anda yang pilih.

Kadang-kadang, dalam syok-syok tengah berehat, kita mungkin akan terfikir bahawa sempurnakah aku ni? Baikkah aku ni pada mata orang, pada pandangan Tuhan? Pernah kan terfikir macam itu?

Saya sendiri selalu juga terfikir, terkenang, dan terimbau betapa banyak dosa dan kesilapan yang saya lakukan selama ini.

Ya, namanya manusia itu memang tak sempurna. Manusia ini diciptakan memang untuk kita belajar. Kita sentiasa menuju ke arah kebaikan. Setiap orang pernah melakukan kesilapan, kegagalan dalam hidup. Betul?

Dan sejauh mana kita hadapi kejatuhan itu, maka di situlah letaknya kehebatan kita. Jangan kata kita hebat kalau kita sedang berada di atas. Yang di atas itu bila-bila boleh diturunkan nikmatnya oleh Dia.

Tak boleh juga sebut bahawa kita telah gagal, andai kita telah melakukan kesilapan dan dosa yang besar dalam hidup, kerana itu semua adalah pelajaran daripada Tuhan supaya kita menjadi manusia lebih hebat pada masa hadapan.

Tanamkanlah dalam diri sentiasa bahawa kita ini adalah seorang hamba musafir. Seorang musafir dia tak pernah berasa selesa. Di mana, bagaimana pun dia berada, dia akan sentiasa berusaha membangun dan mencemerlangkan dirinya.

3 TiPs BuaNG BeNci

RAMAI orang selalu tanya, macam mana nak buang perasaan benci. Rasa diri ni nak benci aje kat mamat seorang tu. Dia buat apa ajelah, ada aje salahnya. Pernah rasa macam ni? Jangan kata tak ada, ramai yang sedang mengalami perasaan yang saya sebut ni.

Yalah, nama pun manusia. Manusia kan penuh dengan seribu satu sifat yang kita tak akan mampu uraikannya satu persatu. Manusia kan memang banyak kelemahan dan kekurangannya.

Benci, khianat, umpat tu biasalah. Ya tak? Eh, mana boleh macam tu, kak. Tak boleh macam tu, dik.

Kita ni hidup walau pun kejap aje, kena ingat satu perkara, kita ni semua saudara. Sesama saudara tak elok bermusuh-musuh. Betul?

3 perkara untuk jadikan kita usir rasa benci pada teman dan orang lain :

  1. Bersangka baik pada setiap yang dilakukan oleh orang lain.
  2. Sucikan hati dengan sentiasa lakukan amalan untuk dekatkan diri pada Tuhan. Banyak sedekah, zikir, menolong saudara dan sahabat.
  3. Percaya bahawa sahabat yang kita sedang benci itu adalah aset untuk kita suatu hari nanti. Semua orang sekeliling kita adalah aset untuk kita ketika kita susah.

Selamat bersangka baik. Salam keteguhan ukhuwah. Mari kita berbaik-baik. Buang jauh-jauh rasa benci.

NaK GaGaL Ke?

ANDA tak akan jadi hebat, kalau anda nak lihat orang lain yang berubah dulu. Kalau anda nak apa yang anda impikan itu berhasil, maka anda yang kena lakukan. Anda yang mesti bekerja, anda yang wajib membanting tulang, anda juga yang berhak lakukan apa sahaja demi impian anda itu tercapai.

Orang lain ni, kak, bukannya tak membantu. Ya dia orang tolong, mereka nak lihat anda berjaya. Tapi sejauh mana mereka boleh buat, dik. Kalau mereka bantu anda, namun anda sendiri yang tak mahu berubah, segalanya tak akan berhasil.

Nak berjaya, nak gagal, nak apa punlah, anda yang bertanggungjawab. Orang lain tak boleh buat apa. Nak gagal, itu anda. Nak berjaya, ha itu pun anda. Pilihlah!

PeTua UnTuK GeMBiRa

Bila anda rasa sedih, cuba ingat kembali masa kanak-kanak. Mesti happy, mesti ceria, mesti gembira punyalah. Tak percaya? Cubalah buat.

Bang, kak, dik, anda semua di luar sana adalah dilahirkan dengan sendirinya untuk ceria, hebat dan matang dalam mendepani segala masalah dunia. Kalau asyik nak marah-marah kawan tu matang ke, dik?

Jadi, satu petua untuk anda rasa gembira sangat ialah cuba ingat kembali masa zaman kanak-kanak dulu. Mudahnya, zaman budak-budaklah.

Ya, bila ingat masa kita main-main lastik burung tu, rasa seronok saja. Betul? Ada kawan tu bila ingat-ingat masa kena kejar dengan Pak Mat sebab curi duriannya yang gugur, rasa nak senyum aje memanjang. Betul kan?

Saya ni sentiasa nak melihat anda, dan saya juga khususnya terus ceria. Bila anda gembira, segala perkara yang dihaslkan akan lebih sempuna. Dan bila kerja itu sempurna, ramai yang suka. Bila ramai orang suka,mudah, dapat jadi calon menantu. Eh, gurau-gurau.

Selamat berbahagia. Salam ceria daripada saya. Senyumlah kak, anda pasti nampak lebih muda.

MaKna CinTa LeLaKi PeReMpuaN

...........................................................................

Hubungan percintaan ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama ialah cinta peringkat awal remaja. Peringkat ini ialah pada umur antara 13 hingga 17 tahun. Cinta peringkat ini biasanya pasangan akan tertarik pada wajah, paras rupa masing-masing. Mana yang hensem-hensem, mana yang comel-comel itulah yang akan menjadi pujaan. Betul?

Cinta peringkat kedua iaitu peringkat umur 18 sehingga 22 tahun pula dinamakan cinta pertengahan remaja. Biasanya mereka yang bercinta, mereka yang bercouple pada masa ini adalah lantaran tertarik pada sikapnya, terpaut pada ambil beratnya kekasih, prihatinnya seorang lelaki terhadap wanita. Ini biasa berlaku.

Dan cinta peringkat terakhir ialah pada umur 23 hingga 27 tahun, iaitu cinta akhir remaja. Cinta pada level ini biasanya lebih dirumuskan kepada matlamat jangka masa panjang. Ini biasanya dikaitkan dengan faktor kestabilan kewangan, kekukuhan hidup seseorang, kemampuan untuk mampu menjaga pasangan hingga ke akhirnya. Ironinya, mereka yang bercinta pada peringkat umur ini ialah mereka yang telah biasa bergelumang pahit maung hidup termasuklah alam cinta remaja. Remaja takat umur ini juga biasanya telah mula mengenal erti hidup. Kebanyakan mereka juga telah mula memulai hidup dalam kerjaya.

Tak kisahlah anda sedang atau masih bercinta pada peringkat mana sekali pun, bang, kak… Cuma nasihat saya, jagalah hubungan itu. Zahir dan luahkanlah percintaan itu mengikut apa yang selalu disebut oleh agama.

Kita adalah kekasih Allah, kita juga merupakan kekasih Rasulullah. Ibu bapa juga kekasih kita. Walau tinggi mana pun rasa sayang, kasih dan cinta kita pada dunia, cinta pada mereka jangan sekali dilupa.

............................................................................

''Wanita ni biasanya mengharapkan sesuatu yang jujur dan benar-benar ikhlas dari seorang yang bernama lelaki. Hubungan jangka masa panjang biasanya diidam-idamkan oleh seorang wanita. Lelaki pula bukannya tak macam itu, tapi lazimnya golongan lelaki masa zaman-zaman remaja lebih mahukan keseronokan. Rasa tanggungjawab biasanya belum lagi datang.''
............................................................................